PELAKSANAAN KAJIAN TINDAKAN


widget

Wednesday 8 April 2015

BINGKISAN HARIANKU

Pengalaman menjadi seorang guru pelatih di sekolah banyak memberikan saya seribu satu kenangan dalam kotak fikiran dan lubuk hati saya yang paling dalam. Tiada kata yang dapat diungkapkan, tiada bicara yang dapat diluahkan. Semuanya terpahat utuh di sanubari ini untuk diabadikan dalam kamus kehidupan seorang insan biasa seperti saya dalam mengejar impian dan cita-cita. Walau beribu halangan yang kutempuh, namun semua itu berjaya kuharungi dengan tabah dan sabar dalam musafir diri ini untuk menimba ilmu yang bermanfaat.
          SMK Buntong, itulah satu-satunya pilihan sekolah yang tinggal untuk diisi oleh saya dan rakan praktikum saya. Dalam keadaan terpaksa memilih, pilihlah pilihan yang terbaik kerana semuanya adalah ketentuan Ilahi. Saya yakin pilihan yang tinggal itu adalah yang terbaik buat diri saya dalam menimba pengalaman hidup. Saya juga yakin, di sebalik semua yang berlaku ada terselindung hikmah Allah yang baik buat hamba-Nya.
          Memulakan langkah awal dengan mencari maklumat berkenaan sekolah. Ternyata maklumat yang diperolehi pada peringkat awal sangat mengejutkan diri saya kerana majoriti pelajar di sekolah berkenaan adalah kaum Cina dan India. Situasi ini tidak mematahkan semangat saya, sebaliknya saya hadapinya dengan hati yang terbuka.
          Hari pertama mendaftarkan diri sebagai Guru Pelatih di SMK Buntong memberikan saya satu cabaran yang besar dalam usaha untuk mendidik anak bangsa. Lebih perit lagi, dalam usaha untuk mendidik anak bangsa yang tidak tahu berbahasa Melayu dengan betul, sedangkan hakikatnya saya diamanahkan untuk mengajar bahasa Melayu, iaitu bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan Negara. Saya tekadkan niat akan berusaha sehabis mungkin Dallam menjalankan amanah yang telah diberikan kepada saya ini.
          Ternyata menjadi guru bukanlah satu tugas yang mudah. Berpeluang untuk mendalami dan merasai kehidupan seorang guru betul-betul mengentalkan jiwa kecilku. Diberi amanah untuk mengajar di sesi petang diterima seadanya kerana sekolah tersebut kekurangan guru bbahasa Melayu pada sesi petang. Kedatangan kami disambut dengan baik untuk membantu meningkatkan penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan pelajar-pelajar bukan Melayu di sekolah berkenaan.
          Hari-hari yang dilalui sebagai Guru Pelatih banyak memberi pengajaran yang berguna kepada saya dalam mendepani masa depan yang belum diketahui nasibnya. Pelbagai ceritera, suka dan duka, tangis dan rajuk, gelak ketawa yang mencuit hati daan seumpamanya diraih olehku sepanjang berkelana di bumi Ipoh.
Sokongan yang diberikan oleh bonda tersayang tidak mematahkan semangatku untuk meneruskan sisa-sisa perjuangan ini. Guru-guru di sekolah berkenaan juga banyak memberi tunjuk ajar dan bimbingan buat insan ini dalam mendepani hari-hari yang bakal berlalu. Buat rakan praktikum saya, Siti Mariam Ismail yang banyak menyaksikan air mata dan luahan hati ini, terima kasih kerana selalu ada saat diri ini memerlukan bahu untuk bersandar. Kepada rakan serumah juga, Nor Diyana Marican dan Nurul Safiza Roslan yang selalu melontorkan kata-kata semangat buat diri ini saat diperlukan. Tidak dilupakan kepada rakan-rakan yang selalu ada tika jauh dan dekat, tika susah dan senang… Maizah Mohamd Noor, Mas Syahirah Mohamad Akhir, Nor Hamizah Shafie, Norazizah Jusoh dan lain-lain kerana selalu menjadi pelangi buat diri ini. Kkehadiran kalian memberi keindahan dan keceriaan dalam diari hidup ini.

Tidak ketinggalan kepada mereka yang pernah menjadi anak murid saya. Kehadiran kalian banyak memberi nostalgia dalam diri cikgu. Kehadiran kalian juga memberi peluang kepaada cikgu untuk memegang panggilan ‘Cikgu’ biarpun hanya 4 bulan, namun tempoh tersebut cukup untuk memberikan cikgu suatu pengalaman yang sangat manis dan indah. Segala kekurangan cikgu dalam mendidik kamu semua, cikgu dahului dengan kemaafan dari hujung rambut hingga ke hujung kaki. Semoga kalian menjadi insan yang berjaya suatu masa nanti. Doa cikgu sentiasa mengiringi kamu. Cikgu halalkan segala ilmu yang pernah cikgu curahkan kepada kalian…

No comments:

Post a Comment